Tiada insiden boikot Mukhriz
- magedamuda
- Sep 10, 2015
- 1 min read

Ketua Umno bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, tiada insiden boikot oleh ketua-ketua Umno bahagian dalam mesyuarat kelmarin. Bagaimanapun, beliau mengaku ada beberapa ketua bahagian yang tidak hadir tetapi dengan sebab-sebab tertentu.
"Tujuh atau lapan ketua bahagian datang, ini tidak termasuk Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Setiausaha dan Ketua Penerangan. Sebagai contoh, Mahadzir Khalid (Ketua Padang Terap) kerana menghadap Sultan Pahang; Tajudin Abdullah (Sik) datang tetapi pulang awal kerana isterinya sakit dan dimasukkan ke hospital,"katanya ketika dihubungi.
Tajul Urus berkata, ketua-ketua bahagian Umno Kedah tidak mempunyai agenda untuk memboikot atau memalukan Menteri Besar Mukhriz Mahathir.
Katanya, mesyuarat itu tidak membincangkan mengenai Mukhriz sebaliknya berjalan dengan aman dan mesra.
"Tetapi mesyuarat ada membincangkan mengenai gerak kerja Umno negeri bagi menghadapi pilihan raya umum ke 14 kelak. Mesyuarat juga membuat keputusan bahawa Umno bahagian boleh menentukan sama ada mahu menghantar ahli untuk perhimpunan baju merah 16 September ini,"katanya lagi.
Beliau menambah, Umno negeri tidak menghalang ahli menyertai perhimpunan tersebut. Setiausaha Umno Kedah, Othman Aziz dilaporkan menafikan insiden memboikot mesyuarat jawatankuasa Umno negeri oleh beberapa ketua Umno bahagian yang diadakan di Kuala Lumpur itu.
“Semalam (kelmarin) seramai 16 daripada 24 jawatankuasa Umno Kedah sahaja yang hadir. Baki selebihnya tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan," katanya seperti dilaporkan sinar harian.
Commentaires