Portal pro-Umno dakwa Air Asia sombong
- magedamuda
- Jun 29, 2016
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Portal pro Umno menyelar sikap sombong syarikat penerbangan murah, Air Asia dalam pertikaian yang membabitkan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Mykmu.net mengingatkan Air Asia perlu menumpukan kepada perniagaan utama mereka, menerbangkan penumpang, bukannya masuk campur dalam hal pengurusan mana-mana lapangan terbang termasuk klia2.
"Tindakan Air Asia secara semberono mahu memaksa Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) untuk menukar nama klia2 kepada LCCT2 bukan sahaja di luar skop syarikat terbabit malah menunjukkan sikap angkuh pemiliknya,"katanya.
Portal juga mengatakan pemilik Air Asia, Tony Fernandes, menunjukkan sikap angkuh dan semberono apabila secara berterusan membuat kenyataan terbuka supaya klia2 ditukar kepada LCCT2.
Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan menegaskan mereka tetap akan kekal dengan jenama klia2.
"Lebih mengejutkan apabila Air Asia secara terbuka telah menggunakan nama LCCT2 menggantikan nama rasmi klia2 dalam strategi pemasaran mereka.
"Ini bukan sahaja biadap malah terdapat gosip bahawa ratusan orang telah terlepas penerbangan mereka kerana menuju ke LCCT lama bukannya klia2 seperti sepatutnya", kata portal itu lagi.
Portal itu beranggapan, tindak-tanduk Air Asia yang sentiasa mencari permusuhan terbuka dengan MAHB mungkin sebagai satu “strategi pemasaran” untuk kekal dalam liputan media. Ia juga tidak mustahil bertujuan mengalih fokus umum dari pencapaian perniagaan Air Asia kepada sesuatu yang kontroversi, tambahnya.
Malah lebih serius, apakah mungkin ini permainan Air Asia untuk mencari kambing hitam apabila mereka mencatat kerugian atau masalah kewangan pada masa akan datang?
댓글