Kenapa Ahmad Husni, Wahid berhenti sekarang?
- magedamuda
- Jun 28, 2016
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mengajak bekas Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah bersama rakyat untuk selamatkan Malaysia.
Katanya, Ahmad Husni mempunyai banyak pengetahuan yang tersembunyi berkaitan perkara penting yang membabitkan Perdana Menteri, Najib Razak.
Ahmad Husni melepaskan jawatan Menteri Kewangan dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, sepatutnya Najib yang digugurkan dari jawatan PM melalui satu desakan dalaman Umno dan undi tidak percaya di kalangan MT Umno, kabinet dan Parlimen.
"Namun tiada keberanian di kalangan ahli MT Umno, anggota kabinet dan ahli parlimen BN untuk berbuat demikian. Pemimpin Umno BN seperti tak ada telor berdepan dengan Najib," katanya.
Rombakan kabinet yang diumumkan Najib semalam sangat mengejutkan, kata Mahfuz. Katanya, ini kerana orang menteri penting kepada ekonomi dan kewangan negara meletakkan jawatan.
Selain Husni, Menteri Jabatan Perdana Menteri Abd Wahid Omar yang menguruskan unit perancang ekonomi tidak mahu menyambung tugas menteri setelah tamat tempoh senator sebelum ini.
"Kenapa mereka meletakan jawatan diwaktu negara sedang dilanda krisis ekonomi dan kewangan yang meruncing .
"Persoalan 1MDB yang makin rumit dan membebankan negara dan rakyat tanpa penyelesaian adalah sesuatu yang sedang menghantui negara dan rakyat. Kenapa mereka berdua melarikan diri dari skandal besar negara 1MDB," katanya.
Perletakan jawatan Husni menimbul dan meninggalkan seribu satu persoalan, yang pasti bagi protes senyap dan undi tidak percaya terhadap Najib, katanya.
"Perletakan jawatan dua menteri kewangan dan ekonomi negara beserta pemecatan Muhyidin Yassin,Mukhriz Mahathir dan pengantungan Mohd Shafie Apdal atas isu yang sama menjadikan krisis ekonomi negara makin parah," tambah Mahfuz.
Comments