Samm mahu syarikat Malaysia pembakar hutan didedahkan
- magedamuda
- Sep 19, 2015
- 2 min read

Sebuah NGO - Solidariti Anak Muda Malaysia (Samm) - memandang berat mengenai dakwaan syarikat perladangan milik Malaysia bertanggungjawab membakar ladang-ladang yang mencetuskan masalah jerebu.
Samm tidak menolak kewujudan syarikat berkepentingan Malaysia atau rakyat Malaysia , kata Penyelarasnya Megat Khairul Anuar.
"Kami mahukan ia didedahkan dan kami pasti tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan hukuman sosial ke atas syarikat dan individu terbabit,"katanya. Beliau menambah, kerajaan Malaysia diminta serius menangani perkara ini kerana rakyat sudah muak setiap kali berlaku jerebu dan skrip biasa diulang.
"Iaitu adanya perbincangan, adanya tindakan bersama, adanya memorandum persefahaman tetapi sehingga kini hasilnya tiada malah keadaan semakin memburuk,"katanya dalam surat yang dihantar kepada Presiden Indonesia Joko Widodo.
Megat Khairul berkata, masalah jerebu telah membawa impak negatif kepada ekonomi Malaysia dan menjejaskan produktiviti sektor perindustrian, pelancongan, pertanian, perikanan dan aktiviti komersil yang lain.
"Kami juga ingin menyampaikan keprihatinan rakyat ke atas impak jerebu kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat kami di seluruh Malaysia.
"Sekolah juga ditutup dan ramai yang terpaksa mendapatkan rawatan,"katanya.
Samm, kata Megat Khairul, menuntut pemerintah Indonesia mengatasi masalah jerebu yang melanda hampir setiap tahun dan pada kali ini kesannya amatlah membimbangkan.
Katanya, Samm menolak jawapan klise iaitu tindakan yang diambil diucapkan berulang kali setiap kali jerebu.
Jika tindakan diambil dan Indonesia serius pasti masalah ini tidak akan berulang setiap tahun, tambah beliau.
"Sepatutnya modus operasi kapitalis rakus yang membakar hutan atau pembakaran hutan kerana pembukaan kebun secara tradisional sudah boleh diatasi jika ia dibuat secara serius,"kata Megat Khairul lagi.
Samm tambahnya, menjemput gerakan sivil Indonesia mengadakan kerjasama peringkat masyarakat sivil.
Katanya, kes jerebu saban tahun ini juga perlu dilihat sebagai kegagalan pemerintah negara masing-masing di rantau ini bertegas kepada kapitalis yang rakus memperkosa alam. Pemodal kaya, penguasa terus di takhta tetapi rakyat sengsara, kata beliau.
Comments