Lesen niaga Petaling Street diberi kepada tokoh Umno
- magedamuda
- Sep 26, 2015
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Negara akan hancur jika Perdana Menteri Najib Razak membenarkan sentimen perkauman, pelampau bangsa, agama dan bebas melakukan apa sahaja, kata ahli parlimen DAP Raub Ariff Sabri Abdul Aziz.
Menurutnya, Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas seluruh Malaysia tidak akan membenarkan anasir jahat menggugat keselamatan negara dan hubungan kaum di Malaysia.
Nyatalah PM Najib bukan seorang yang bertanggung jawab, dakwanya dalam blognya hari ini. Menurut Ariff Sabri, ada yang tidak kena apabila kita biarkan seorang tauke ikan bakar dan seorang bekas tentera ambil undang-undang dalam tangan dan cadang buat demonstrasi.
Beliau dipercayai merujuk kepada Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos dan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohamad Ali Baharom atau Ali Tinju yang terlibat dalam himpunan baju merah 16 September lalu.
Katanya, mereka pula yang boleh keluarkan ancaman secara terbuka dan pihak polis tidak berbuat apa-apa?
"Mengapa tidak pakai Sosma ke atas mereka tapi ke atas Khairudin Abu Hassan ,kerajaan dengan zalimnya menggunakan akta ala ISA ini?" tambahnya lagi.
Jamal pada mulanya merancang mengadakan tunjuk perasaan di depan Jalan Petaling kerana mendakwa penga Cina menjual barangan tiruan. Beliau juga mendesak lesen niaga diberikan juga kepada peniaga Melayu.
Sebaliknya Ariff Sabri mendakwa lesen niaga di Jalan Petaling telah diberikan kepada tokoh Umno dan mereka sewakan kepada orang Cina.
Pergilah ke Dewan Bandaraya dan mohon permit berniaga, kata beliau dalam blognya hari ini.
Beliau menambah, pasaran untuk barang tiruan memang besar dan semua orang tahu di Jalan Petaling mereka boleh beli barang tiruan.
"Ada pengunjung memang pun pergi ke Jalan Petaling untuk beli jam Rolex. Atau beli beg LV. Beg Birkin Hermes pun mungkin ada. Tali pinggang Hermes banyak.
"Pihak berkuasa tahu perkara ini. Peniaga yang menjual mempunyai pelanggannya. Bukan hak dan urusan kita mencampuri dalam transaksi pasaran terbuka antara pembeli dan penjual.
"Jika pelanggan hendak beli barang tiruan, siapa kita hendak menyekatnya? Dan jika nilai pasaran barang tiruan tinggi, kerajaan dapat hasil cukai yang banyak,"tambah beliau.
Menteri dalam negeri kita dan menteri luar negeri tidurkah? soal beliau
Comments