Dr M mudah lupa
- Zabidi Saidi
- Oct 7, 2015
- 2 min read

Berucap dalam satu majlis di Tawau, Sabah dua hari lalu, Mahathir Mohamad yang juga bekas presiden Umno terus menerus menyerang Najib. Beliau mendakwa Najib tidak boleh meyakinkan rakyat supaya menyertai perhimpunan menyokong beliau jika tidak melibatkan wang.
"Di Tawau ni pun berlaku. 50,000 rakyat Tawau datang (sokong Najib) katanya (Najib). Tapi ini angka ciptaan, mereka datang kerana diupah untuk datang," katanya.
Mahathir merujuk kepada 'Perhimpunan Solidariti Rakyat Sabah Bersama Perdana Menteri', di Tawau pada 10 Mei, di mana Najib membaca falsafah Bugis dan berkata beliau tidak akan tunduk dengan tuntutan supaya melepas jawatannya. Laporan menyebut seramai 40,000 hadirin hadir dalam perhimpunan itu.
Mengulas isu ini, nampaknya Mahathir mudah lupa. Dahulu sewaktu beliau menjadi PM Malaysia selama 22 tahun pun rakyat juga diangkut ke majlis beliau.
Jadi apa masalahnya kalau Najib meneruskan tradisi yang diamalkan Mahathir? Saya masih ingat ketika bertugas sebagai pegawai tadbir Felcra di Ipoh saya mewakili Pengarah Felcra Perak untuk menghadiri mesyuarat menyambut kedatangan Mahathir ke Perak pada tahun 1986 yang dipengerusikan Exco kanan, Malek.
Dalam mesyuarat itu dilantik pegawai kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Perak untuk menjadi pengerusi jawatankuasa pengangkutan, jawatankuasa sambutan, jawatankuasa publisiti dan jawatankuasa jamuan.
Malah Malek amat teliti dalam menentukan cenderahati kepada Mahathir yang mana jawatankuasa bersetuju memberi cenderahati berbentuk gambar beliau. Secara berseloroh Malek yang juga Ketua Umno Bahagian Beruas berkata pastikan gambar Mahathir itu elok dan tidak nampak hidung Mahathir pesek.
Untuk meramaikan kehadiran rakyat menyambut kedatangan PM itu ke Perak, Malek meminta semua jabatan mengerah kakitangan mereka hadir ke majlis itu manakala Pejabat Daerah pula menyediakan bas untuk mengangkut semua JKKK hadir.
Maka jika benar rakyat diupah datang ke majlis Najib, apa salahnya kerana Mahathir pun buat perkara yang sama. Takkan Mahathir sudah lupa atau buat buat lupa. Mahathir pernah berkata Melayu mudah lupa, rupa-rupanya beliau yang mudah lupa.
Jika arwah Setiausaha Agung Umno, Mohamed Rahmat masih hidup, kita boleh tanya Tok Mat banyak mana habis bajet yang digunakan kementeriannya untuk menjulang semula nama Mahathir melalui program Semarak pada tahun 1987.
Oleh itu jangan salahkan Najib kalau Najib angkut orang, kerana Najib belajar dari gurunya Mahathir.
Comments