Penahanan Matthias, Khairuddin adalah peyalahgunaan undang-undang
- magedamuda
- Oct 12, 2015
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Penahanan peguam Matthias Chang dan Khairuddin Abu Hassan di bawah Sosma adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa, kata sekumpulan bekas pemimpin tinggi negara.
. Ini jelas bercanggah dengan tujuan undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen, kata mereka dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad; dua bekas Presiden MCA Ling Liong Sik dan Ong Tee Kiat; Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yssin; dua bekas Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Shafie Apdal dan bekas Setiausaha Agung Umno Sanusi Junid.
"Amatlah malang bagi rakyat Malaysia apabila tindakan tersebut diambil oleh pihak berkuasa, mesej yang sampai kepada rakyat ialah apabila seseorang melaporkan berlaku kesalahan, orang yang membuat laporan akan ditangkap.
"Pada akal yang sihat, tindakan ini juga memperlihatkan apabila ada pihak yang didakwa melakukan kesalahan dan apabila laporan dibuat terhadapnya, apa jua peruntukan undang-undang yang ada akan digunakan untuk menutup kesalahan pihak yang didakwa.
"Tidakkah amat memalukan apabila seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak berusaha membuktikan kebenaran ataupun “his innocence” tetapi sebaliknya orang yang melaporkan kesalahan ditahan," kata mereka.
Mereka menambah, penahanan tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa serta tindakan terdesak untuk mendiamkan pengkritik.
Penggunaan Sosma untuk menahan kedua-dua individu ini juga adalah bertentangan dengan semangat dan tujuan Akta ini diluluskan oleh Parlimen, kata mereka lagi.
"Oleh kerana tidak ada undang-undang yang dapat digunakan untuk menahan dan menangkap orang yang membuat laporan, maka digunakan satu undang-undang yang digubal untuk tujuan memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam serta memperuntukkan satu hukuman yang berat untuk membuat tahanan dan tangkapan,"kata mereka lagi.
Matthias adalah peguam yang mengiringi Khairuddin yang membuat laporan mengenai dakwaan salahlaku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan di luar Malaysia.
Tindakan ini tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara dan tidak boleh dianggap sebagai suatu ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam yang dilindungi oleh Sosma, dakwa mereka.
Mereka menambah, laporan-laporan yang dibuat oleh Khairuddin adalah mengikut lunas-lunas demokrasi serta hak yang dijamin oleh mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
"Perdana Menteri sendiri ketika membentangkan Rang Undang-Undang Sosma 2012 di Dewan Rakyat pada 16 April 2012 memberikan jaminan bahawa setiap individu “bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan”.
"Malahan, beliau berjanji “tidak ada sesiapa akan dihukum hanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara”,"kata mereka.
Kata merka, berdasarkan janji ini, maka kedua-kedua warganegara ini mestilah dibebaskan serta-merta dan pihak berkuasa memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah Sosma hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat dan kritikan serta mengambil apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
Comments