Tol naik wakil rakyat hanya jadi pak turut
- magedamuda
- Oct 13, 2015
- 2 min read

PETALING JAYA: Pemandu teksi merupakan antara yang turut akan merasakan bebanan tol yang bakal berkuatkuasa Khamis ini.
Berdasarkan tinjauan Berita Daily, majoriti mereka kecewa dengan pengumuman yang dibuat semalam melalui pengumuman 12 syarika konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang.
Mohd Arifin Osman, 70, berkata kenaikan kadar tol ini tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan benar-benar prihatin terhadap rakyat yang datang daripada pelbagai jenis pendapatan.
Sudahlah harga gas asli untuk kenderaan (NGV) naik, kini mereka terpaksa berhadapan dengan kenaikan tol pula, justeru ini sudah cukup mengundang amarah.
"Patutnya kerajaan pantau perkara ini. Tidak boleh naikkan begitu sahaja.
"Sekarang ini kita pakai NGV, kita isi sehari tiga kali. Biasa tangki penuh RM9 dan keatas sekarang hampir RM14, dengan tol dan gas naik pendapatan kita terjejaslah," menurut beliau.
Di samping itu tambah beliau syarikat konsesi tidak boleh memberi alasan tidak dapat mengaut keuntungan sedangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya semakin bertambah.
Semalam dilaporkan mulai 15 Oktober ini, kadar tol di beberapa lebuh raya akan dinaikkan.
Menurut kenyataan daripada Maju Expressway Sdn Bhd yang mengendalikan Lebuh Raya Maju (MEX) kadar tol tersebut di antara 20 sen dan RM3.
Selain itu, kadar tol di terowong Smart juga naik kepada RM3.Turut menaikkan kadar tol adalah syarikat konsesi New Pantai Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).
Memetik kenyataan pihak NPE semalam, kenaikan kadar berkenaan antara 40 sen hingga RM2.10.
Sementara pengendali lebuh raya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) juga mengumumkan penyelarasan struktur kadar baru tol di konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).
Bagi Khalid Jalaludin, 64 pula, kenaikan tol ini sudah pastinya tidak akan mendapat bantahan daripada mana-mana ahli parlimen Umno-BN yang hanya menjadi 'Pak Turut' walaupun sepatutnya menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat.
Walaupun dipilih rakyat semasa pilihan raya namun Khalid berkata semua ahli parlimen termasuk menteri yang berkenaan gagal menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya digalas iaitu memastikan rakyat tidak tersepit.
"Ini yang rakyat tidak suka sekarang, yang saya hairan semua ahli parlimen Umno-BN tidak pernah komen membantah tentang perkara ini.
"Semua senyap dalam Parlimen semua Pak Turut, sedangkan mereka tahu rakyat yang undi mereka sehinngga berjaya jadi wakil rakyat.
"Jadi kewajipan dia dan amanahnya untuk menjalankan tugas, kenapa bisu? Inilah masalahnya... sudah diamanahkan oleh rakyat jalankan tugas elok-elok," ujar beliau.
Pemandu teksi juga merupakan rakyat yang mempunyai hak untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa juga tindakan kerajaan yang dilihat jelas tidak tepat, kata Khalid lagi.
Bagi seorang lagi pemandu teksi S. Alegethu, 56, beliau sedar rakyat tidak mempunyai jalan lain kecuali menerima sahaja tekanan daripada kerajaan ini.
Walaupun sepatutnya kerajaan boleh membantu melalui rundingan dengan syarikat konsesi, namun beliau yakin itu tidak akan berlaku.
"Mahu naikkan suka hati sahaja,apa boleh buat kita terima sahajalah. kita sudah tidak ada jalan lain lagi melainkan terima," kata beliau yang nyata kecewa dengan pengumuman kenaikan tol semalam.
Comentarios