Bagaimana DEIG Land pinjam RM500 juta?
- Ahmad Fikri
- Nov 4, 2015
- 2 min read

Setiausaha Adun Barisan Nasional Selangor Budiman Mohd Zuhdi mempersoal aset negeri yang dicagarkan sehingga DEIG Land menerima tawaran pinjaman daripada bank tempatan sebanyak RM 500 Juta.
Beliau mempertikai bagaimana sebuah syarikat yang dikatakan belum beroperasi boleh menerima tawaran pinjaman bank. Apakah asas sebuah syarikat baru didaftarkan boleh menerima tawaran pinjaman sebanyak RM 500 juta.
"Kami juga dimaklumkan bahawa pada 22 Julai 2015, Deig Land telah menerima tawaran daripada daripada sebuah kumpulan perbankan utama di Malaysia dengan tawaran pinjaman berjumlah RM 500 juta untuk mengambilalih dan melunaskan hutang KDEB terebut.
"Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah," katanya ketika sidang media di Lobi DUN Selangor, hari ini.
Tambah Budiman lagi, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semalam bahawa kegagalan syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membayar hutang RM413.2 juta kepada kerajaan negeri amat mencurigakan dan turut mengundang pelbagai persoalan.
"Dipercayai keputusan ini dibuat dengan niat memindahkan kepada DEIG Land Sdn Bhd (DEIG Land) sebuah anak syarikat DEIG terhadap kuasa dan kawalan ke atas bank tanah milik KHSB (Kumpulan Hartanah Selangor Bhd) yang amat bernilai tersebut.
"Semasa permohonan pinjaman bank tersebut dibuat dan diluluskan, DEIG land hanya mempunyai dua orang ahli lembaga pengarah dan dua orang pemegang saham dengan nilai pegangan satu ringgit tiap seorang dan menteri besar juga memaklumkan bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya belum beroperasi.
Budiman yang juga merupakan Adun Sungai Panjang turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak meneruskan pelan penyelesaian asal menerusi Perbadan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi sanggup membiarkan DEIG berhutang dan menanggung beban faedah yang tinggi.
"Kami difahamkan program penyelesaian asal menjadualkan PKNS membeli sebahagian daripada bank tanah KHSB dan KDEB. Hasil transaksi tersebut kemudiannya akan digunakan oleh KDEB untuk melunaskan pinjamannya dengan kerajaan negeri," jelasnya.
"BN Selangor menuntut agar Azmin membentangkan secara telus, lengkap dan komprehensif kesemua aset milik negeri yang telah dicagarkan kepada bank untuk menerima tawaran pinajaman tersebut.
"Bukankah semua pihak berdepan dengan risiko amat tinggi sekiranya aset bernilai RM1.02 bilion dicagarkan apatah lagi oleh sebuah syarikat sendirian berhad yang hanya bernilai RM2?
"Mengapakah sebahagian bank tanah milik KHSB tidak dijual kepada PKNS mengikut pelan penyelesaian asal atau KDEB menjalin hubungan usahasama dengan PKNS," soalnya lagi.
Comments