PRN Sarawak: PAS tetap bertanding
- magedamuda
- Dec 22, 2015
- 1 min read
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak akan bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi DUN pada Pilihan Raya Sarawak yang akan datang termasuk beberapa kerusi bandar yang biasa ditandingi DAP, kata Pesuruhjaya Pas Negeri Sarawak Jofri Jaraiee.
Menurutnya, perbincangan kerusi ini tidak tertakluk kepada perbincangan dengan Pakatan Harapan kerana PAS bukan sebahagian gabungan tersebut.
Apapun, PAS Sarawak sedia berunding dengan PKR sebagaimana keputusan PAS Pusat yang masih mengekalkan tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PKR.

"Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas PAS telah bertanding di 5 kerusi DUN. Antara kerusi yang bakal ditandingi oleh PAS dalam Pilihanraya Negeri Ke-11 akan datang termasuklah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi yang sedang dipertimbangkan.
"PAS kini aktif di 11 kawasan dan mempunyai sekitar 3,000 aktivis yang bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya negeri. Program-program PAS di bawah Projek Untukmu Sarawak (UMS) seperti program kebajikan, kemasyarakatan, dakwah dan pendidikan sentiasa digerakkan serta mendapat sambutan dari masyarakat tempatan," katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Jofri lagi, tidak benar sama sekali PAS di Sarawak tidak mendapat sambutan seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PKR Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dipetik akhbar sebagai berkata “PAS Kurang Sambutan, Tiada Kerusi Di Sarawak.
Comentarios