Pinjam RM2.4 bilion tapi kenapa RM800 juta dibelanja?
- magedamuda
- Jan 12, 2016
- 1 min read

Setelah membuat pinjaman Sukuk Murabahah berjumlah RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja memindah dan menaiktaraf lapan pangkalan tentera udara di Sungai Besi, baki pinjaman sebanyak RM1.6 bilion itu kini menjadi tanda-tanya.
Menurut Naib Presiden PKR yang juga Setiausaha Agung Rafizi Ramli, perkara ini dipertikaikan selaras dengan kenyataan 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB) baru-baru ini yang memaklumkan baki pembiayaan yang perlu dilangsaikan kepada kontraktor yang terlibat adalah RM1.9 bilion.
Ini bermakna daripada Sukuk Murabahah itu hanya sejumlah RM800 juta yang digunakan.
"Kenapa bebanan kewangan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera masih lagi berbangkit sehingga menjadi sebahagian urus niaga jual beli Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) sedangkan 1MDB meminjam RM2.4 bilion dalam tahun 2014.
"Ini bermakna RM1.6 bilion dari Sukuk Murabahah tidak digunakan bagi tujuan itu. Ke mana dana itu dan bagi tujuan apa ia tidak digunakan," kata Rafizi semasa sidang media di ibu Pejabat PKR sebentar tadi.
Rafizi dalam masa sama mengulangi dakwaanya bahawa penglibatan syarikat China iaitu Railway Express Coorperation Limited dalam pemindahan semula kem tentera di Sungai Besi berisiko memberi kesan kepada implikasi kepada kedaulatan dan pertahanan negara.
1MDB sebelum ini dianugerahkan tanah Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi untuk dibangunkan dan sebagai pertukaran mereka perlu menaiktarafkan lapan pengkalan yang lain dan satu kem polis udara.
Kem itu antara lainnya ialah Kem TUDM Sendayan, Ipoh, Butterworth, Gong Kedak, Kuantan, Subang, Kajang dan Pangkalan Gerakan Udara Polis Subang.
Comments