Jangan henti lawan, tangguh 3 bulan hanya politik
- magedamuda
- Jan 8, 2016
- 2 min read
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Solidariti Anak Muda Malaysia (Samm) menggesa rakyat Pahang terus melawan perlombongan bauksit meski kerajaan membekukan sementara operasi selama tiga bulan.
Pengasas Samm, Badrul Hisham Shahrin berkata, penangguhan itu hanya keputusan politik untuk meredakan kemarahan rakyat.
Katanya, ini adalah untuk menipu rakyat dan tidak bererti apa-apa kerana mana mungkin kemusnahan dahsyat ini dapat diperbaiki atau dibersihkan dalam masa tiga bulan.
Bagaimanapun, penangguhan sementara itu adalah kemenangan awal kepada rakyat, katanya.
Operasi perlombongan bauksit ini tambah beliau telah pun berlaku dengan sangat lama tetapi kerajaan agak perlahan dalam penguatkuasaan sehingga telah meragut nyawa dan memusnahkan kelestarian alam sekitar.
"Apakah pemerintah tidak boleh mengenakan syarat ketat kepada pemain industri supaya tidak merosakkan alam seperti yang dilakukan oleh Australia? Mengapa pemerintah tidak melihat kepada amalan baik pengurusan bauksit seperti yang dikeluarkan oleh International Aluminium Institute (IAI)?
"Pemerintah hanya membiarkan pemain industri ini untuk membuat apa sahaja tanpa dikawal," katanya.
Badr

ul Hisham atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard juga mengecam sikap agensi dan penjawat awam berkepentingan telah mengeluarkan kenyataan berdolak-dalik yang cuba menyembunyikan kemudaratan perlombongan bauksit yang tidak terkawal ini.
Katanya, Menteri Kesihatan juga telah memberikan amaran agar rakyat tidak menggunakan bekalan air sungai dan juga makan ikan dari sungai yang tercemar, namun bagaimanakah untuk orang ramai dapat mengetahui ikan-ikan ini berasal daripada sungai yang telah tercemar?
Beliau menambah, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kononnya memandang serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ekoran wujud unsur-unsur rasuah dalam akitviti bauksit ini juga agak lucu.
Katanya, cukuplah SPRM menjadi bahan lelucon sebelum ini.
"Samm yakin dan percaya perkara ini akan senyap dan hilang begitu sahaja kerana di belakang semua aktiviti bauksit ini wujud kelompok-kelompok individu yang sangat berkuasa dalam hierarki kuasa negara," tambah beliau.
Comments