PAS akan pertimbang gabungan satu pembangkang
- Shawaliah Hadir
- May 16, 2016
- 1 min read

PAS akan menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun nanti sebagai petanda aras untuk membuat keputusan bergabung dengan Pakatan Harapan sebagai parti pembangkang atau sebaliknya.
Demikian, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,Sallehen Mukhyi.
Jelasnya jika tidak berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih bagi menentang Barisan Nasional (BN) ditambah pula kerjasama yang diberikan oleh Pakatan Harapan untuk membantu berkempen dengan PAS, maka penyatuan PAS dengan parti pembangkang yang mempunyai tiga komponen parti itu boleh dipertimbangkang.
"Saya lebih suka kiranya DAP yang bersama-sama dengan Pakatan Harapan dan juga Amanah yang masih baru lagi, kalau mereka mahu melihat gabungan semula pembangkang ini mereka perlu bersabar.
"Tidak pelik untuk kita bersama dalam pilihan raya di Sungai Besar ini kerana PAS sekian lama bertanding jadi bagi PAS bertanding dan yang lain bantu sahaja walaupun tidak ada satu penggabungan.
"Mereka sepatutnya jadikan ini sebagai fokus untuk selepas ini tidak ada alasan untuk kita bergabung antara pembangkang," katanya kepada Berita Daily ketika ditemubual secara eksklusif hari ini.
Pakatan Harapan tambahnya perlu menjadikan keputusan Pilihan Raya Sarawak apabila wujud pertembungan di beberapa buah kerusi di antara Amanah dan PAS termasuk PKR dan DAP sebagai pengajaran agar tidak memberikan undi secara mudah kepada seteru mereka iaitu BN.
"Mereka perlu menjadikan Sungai Besar ini sebagai satu testimoni terhadap perpaduan selepas pilihan raya Sarawak yang bercelaru di kalangan pembangkang," ujar beliau yang juga Adun Sabak.
Comments