top of page

"Saya tidak pernah dipanggil untuk membela diri"

  • Writer: magedamuda
    magedamuda
  • May 18, 2016
  • 2 min read

Timbalan Presiden Umno yang digantung, Muhyiddin Yassin berkata, beliau munsykil dengan kenyataan Setiausaha Agung parti bahawa kesnya akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.

"Saya tidak pernah dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin mengenai apa-apa tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap saya ataupun asas-asas tuduhan itu dibuat.

"Saya juga tidak pernah diberikan surat tunjuk sebab atau dipanggil untuk membela diri oleh Lembaga Disiplin berkait dengan apa-apa dakwaan pelanggaran disiplin terhadap saya,"kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Adnan Mansor berkata, laporan Lembaga Disiplin mengenai kedudukan Muhyiddin telah siap dan hanya menunggu untuk dibentangkan dalam mesyuarat MT.

Bagaimanapun Muhyiddin mendakwa, ia menggambarkan bahawa proses tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadapnya telah dibuat tanpa mengikut tatacara dan prosedur yang betul, sekaligus bercanggah dengan peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan Umno.

"Sepatutnya saya diberikan surat tunjuk sebab yang memperincikan asas-asas tuduhan terhadap saya. Saya juga mesti diberikan suatu tempoh untuk menjawab segala tuduhan tersebut dan menyatakan sebab-sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap saya."

Namun, kata Muhyiddin berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, semua langkah ini telah tidak diambil oleh Lembaga Disiplin.

Muhyiddin berkata, beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan Lembaga Disiplin Umno ketika mempengerusikan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno pada tahun 2000.

Katanya, semangat penubuhan Lembaga Disiplin yang bebas adalah berasaskan prinsip untuk memastikan supaya semua ahli Umno yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin mendapat layanan yang adil serta diberikan hak untuk membela diri selaras dengan prinsip keadilan asasi.

"Ironinya, jika apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno adalah benar, dalam kes yang melibatkan diri saya sendiri sebagai orang nombor dua di dalam parti, semangat dan prinsip penubuhan Lembaga Disiplin telah tidak dipatuhi,"" katanya.

Muhyiddin menambah, sepanjang tidak berada di dalam kerajaan dan digantung daripada jawatan Timbalan Presiden Umno, beliau telah memberikan pandangan dan nasihat smengenai isu yang sedang melanda kepimpinan Umno khususnya yang telah mencemar nama baik parti dan kerajaan.

Katanya, ia bertujuan saya adalah untuk menyedarkan kepimpinan Umno tentang bahaya besar yang sedang menanti jika kemelut yang membabitkan Presiden parti tidak diselesaikan dan menggesa mereka supaya mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan parti dan memulihkan keyakinan ahli Umno dan rakyat seluruhnya kepada parti dan kerajaan.

Adalah malang sekiranya tindakan saya untuk menyelamatkan Umno dianggap sebagai melanggar disiplin parti, katanya.

Justeru, beliau menggesa Lembaga Displin Umno supaya memberikan penjelasan mengenai kedudukan sebenar laporan terhadapnya seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung parti. Katanya, beliau berhak untuk mengetahui asas-asas tuduhan ke atasnya dan seterusnya membela diri sebelum sebarang tindakan diambil.


 
 
 

Comentários


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2023 by Mums Tums and babies. Proudly created with Wix.com

Follow Us
  • Google+ Black Round
  • Facebook Black Round
  • Instagram Black Round
bottom of page