Pakaian PAS 'pendekar musytar'.
- Shawaliah
- Jun 2, 2016
- 1 min read

Penampilan pemimpin PAS seperti pahlawan Melayu ketika Muktamar Pemuda di Kota Baru menjadi bahan jenaka Pakatan Harapan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu ketika berucap di acara pengisytiharan calonnya di Sungai Besar memberi gelaran pemimpin parti yang pernah disertainya itu sebagai 'pendekar musytar'.
"Kita mahu Barisan Nasional (BN) kalah jangan tersilap langkah yang satu lagi yang itu pendekar musytar.
"Pendekar musytar pun kita tolak, BN pun kita tolak," selorohnya.
Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa dalam pada itu menganggap cara pemakaian pemimpin PAS semalam sebagai bukti mereka bersama dengan Umno-BN.
"Kalau kita tengok pakaian mereka sudah sama dengan Umno. Bahkan orang Umno sudah tentu terkejut melihat pemakaian PAS.
"Jangan fikir blok pembangkang ini sebagai parti pembangkang tetapi pembantu BN jadi siapa yang membantu BN kita perlu tolak!," katanya di majlis yang sama.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyuarakan kehairanannya terhadap penampilan 'pelik' pemimpin PAS.
"Saya terkejut, saya tidak pernah tengok parti politik sebelum ini berpakaian seperti itu," katanya tanpa mengulas lanjut.
Tidak seperti kebiasaan dengan kopiah atau berserban dan berjubah putih, beberapa pemimpin PAS membuat kejutan dalam Muktamar Pemuda PAS pada Selasa dengan berpakaian segak seperti pahlawan Melayu.
Timbalan Presiden parti, Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi antara lengkap berkeris dan bertanjak di lokasi berlangsungnya Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kelantan Trade Centre.
Comments