Rakyat Malaysia sokong hudud, kata Nik Abduh
- magedamuda
- Jun 9, 2016
- 2 min read

Lebih 80 peratus dari 20, 000 rakyat Malaysia dalam satu kajian menyokong pelaksanaan hukum hudud, kata Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz.
Kajian itu dibuat seorang tokoh anak muda negara yang melibatkan pengguna twitter, kata beliau.
"Apatah lagi jika sekadar meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah melalui pindaan Akta 355.
"Arus kesedaran Islam di kalangan rakyat adalah semakin bertambah baik dan kuat berbanding dulu. Arus inilah yang menjadi punca kerajaan Barisan Nasinal (BN) akhirnya bersetuju meminda Akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah,"katanya.
Nik Abduh yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, sangat liat pihak kerajaan sebelum ini untuk menyokong pindaan ini.
Bagaimanapun, tekanan tinggi oleh rakyat di samping faktor-faktor politik dan lain akhirnya memaksa kerajaan bersetuju meminda akta ini melalui rang undang-undang persendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Arus kesedaran Islam, katanya adalah paling ketara di kalangan penjawat awam dan para ilmuan Muslim.
Merekalah sebenarnya yang berjaya meyakinkan orang-orang politik tentang tuntutan dan keperluan sistem Islam diperkasakan di dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat, tambahnya.
Comments