SAMM dakwa Ketua Polis bohong
- magedamuda
- Jun 16, 2016
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar berbohong dalam isu ini pembebasan empat rakyat negara yang dculik dibebaskan semalam .
Khalid dilaporkan sebagai berkata, tiada sebarang pampasan dibayar untuk membebaskan keempat-empat mangsa tersebut yang ditahan semenjak bulan April lalu.
Namun, kata Ketua Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shahrin keluarga mangsa membayar wang tebusan bernilai RM 12 juta kepada kumpula Abu Sayyaf.
Media melaporkan pihak keluarga telah menyerahkan kira-kira 12 keping cek Bank Hong Leong yang setiapnya bernilai RM 1 juta yang disimpan di dalam beg ke Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Sandakan antara pukul 4 petang dan 6 petang pada 24 Mei lalu.
"Persoalannya adalah mengapa KPN perlu membuat satu kenyataan media palsu,"katanya dalam kenyataan hari ini.
Badrul berkata, kenyataan KPN itu bukan bersifat peribadi tetapi mewakili pihak berkuasa keselamatan Malaysia.
Katanya, apabila memberikan satu kenyataan yang mengelirukan dan berbohong, ia akan menghakis kredibiliti dan integriti bukan sahaja KPN sebagai individu sebaliknya jawatan Ketua Polis Negara dan seluruh pasukan Polis DiRaja Malaysia.
"SAMM mendesak KPN untuk menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf atas kekeliruan yang telah berlaku.
"Kenyataan KPN tersebut telah menyebabkan pihak keluarga menghadapi tekanan daripada penderma-penderma terbabit sehingga menyebabkan pihak keluarga terpaksa mendedahkan bagaimana proses pembebasan dan pembayaran wang tebusan dilakukan kepada pihak media,"katanya lagi.
Badrul berkata, lebih dibimbangi, laporan berita pembayaran wang tebusan daripada negara kita ini akan memberikan lebih inspirasi kepada pengganas terutama yang berada di Selatan Filipina untuk melipatgandakan usaha menembusi sempadan perairan negara dan menculik rakyat tempatan atau pelancong asing di Sabah.
Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja mereka, Wong Hung Sing, 34, yang diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.
Comments