PKR gesa pembunuh Bill Sayong dikesan segera
- magedamuda
- Jun 21, 2016
- 1 min read

KUALA LUMPUR: PKR menggesa pihak yang terlibat dalam pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong pagi tadi segera dikesan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pada ketika ini, motif jenayah pembunuhan ini belum lagi dikenalpasti.
“Bagaimanapun PKR menggesa semua pihak untuk bersabar dan menunggu kenyataan penuh dari pihak Polis Diraja Malaysia.
“Keadilan turut menggesa agar mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam ini segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada satu kenyataan media.
Azizah yang terkilan dengan insiden itu memberitahu bahawa Bill Kayong merupakan aktivis PKR yang terlibat aktif dalam isu melibatkan rakyat Sarawak termasuk sering membangkitkan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Bagi pihak keluarga besar Keadilan, kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga saudara Bill Kayong. Semoga keluarga mendiang terus sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang amat mencabar ini,” katanya.
Bill Kayong yang juga merupakan calon parti itu ketika pilihan raya negeri Sarawak ditembak mati di lampu isyarat Jalan Kuala Baram berhampiran sebuah pasar raya kira-kira jam 9 pagi, hari ini.
Bill dipercayai ditembak dari jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta jenis Toyoto Hilux yang dinaikinya.
Comments