Rafizi: Bos SPRM dipecat
- magedamuda
- Jun 23, 2016
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Pemecatan Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamad dan timbalannya, Shukri Abdul kerana campur tangan politik, dakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak mendedahkan kes-kes rasuah sebelum ini.
National Oversight and Whistleblowers (NOW) mendakwa tindakan memecat Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM merupakan campur tangan politik yang begitu luar biasa dalam badan SPRM, menghina kebebasan SPRM, dan tidak pernah belaku dalam sejarah negara.
Rafizi Ramli dan Akmal Nasir - kedua-duanya Pengarah Eksekutif NOW berkata, Abu Kassim dan Shukri bukan meletakkan jawatan secara suka rela sebagaimana dilaporkan.
"Sebaliknya mereka diarahkan meletakkan jawatan," kata Rafizi dan Akmad dalam kenyataan hari ini.
Menurut pemimpin PKR itu, seorang pegawai kanan SPRM kira-kira lima bulan lalu menghubungi mereka dan memaklumkan bahawa kedua-dua pimpinan tertinggi SPRM telah dipaksa meletak jawatan.
Mereka akan digantikan dengan ‘orang luar’ SPRM, kata pegawai berkenaan sambil menambah Abu Kassim dan Shukri tidak berniat atau membuat permohonan perletakan jawatan ketika itu. "Ini terbukti dengan pelucutan Abu Kassim daripada jawatan Pesuruhajaya SPRM tanpa sebarang sebab munasabah sedangkan beliau akan kekal berkhidmat dalam SPRM sebagai seorang pegawai khidmat biasa sehingga tahun 2020," kata Rafizi dan Akmal..
Kata mereka Jika Perdana Menteri Najib Razak yakin tidak bersalah dalam skandal 1MDB mahupun SRC International, beliau seharusnya tidak perlu berasa gusar atau takut dengan Pesuruhjaya SPRM atau kebebasan SPRM menjalankan tanggungjawab mereka.
Berikutan itu, NOW menyeru semua pihak termasuk ahli-ahli arlimen, pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dan rakyat biasa untuk mempertahankan integriti dan kebebasan SPRM. "Ini merupakan tindakan pertama kepimpinan Najib selepas mencapai kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar," tambah mereka.
Menurut Rafizi dan Akmal, pemecatan tersebut bukan sahaja melemahkan SPRM tetapi juga akan mengundang kerosakan yang lebih besar terhadap integriti dan ketelusan pentadbiran kerajaan. Mereka meminta semua pihak harus memandang serius perkara ini dan bekerjasama bagi mempertahanka kebebasan SPRM.
Manakala, parti-parti politik pembangkang seperti Pakatan Harapan dan PAS sewajarnya mencari kesepakatan dan meletakkan agenda memerangi rasuah dan ketirisan sebagai keutamaan dan dijadikan titik pertemuan usahasama, kata mereka.
Manakala, NOW akan memanggil satu mesyuarat tergempar pada hari Isnin ini yang melibatkan ahli-ahli parlimen, pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dan NGO yang berkaitan bagi membincangkan tindakan-tindakan susulan.
"Mendesak ahli-ahli parlimen terutamanya daripada parti-parti pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah untuk meletakkan jawatan sebagai tanda protes.
"Mereka adalah Dr Tan Seng Giaw (DAP), Fauzi Abd Rahman (PKR) dan Takiyuddin bin Hassan (PAS)," kata mereka lagi.
NOW juga mendesak ahli-ahli panel dalam jawatankuasa-jawatankuasa bebas SPRM seperti Lembaga Penasihat SPRM, Panel Penilaian Operasi (PPO), Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) termasuk yang baru dilantik meletakkan jawatan atau yang bakal dilantik tidak menerima tawaran jawatan sebagai tanda protes.
Comentários